widget

Saturday, 26 January 2013

Apa Itu Hudud ?


             



 Profesor Madya Datin Dr. Paizah Hj Ismail ( Jabatan Fiqh & Usul , Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ) menyatakan bahawa perkataan Hudud yang diguna pakai oleh masyarakat Melayu berasal daripada perkataan Arab.Menurut Kamus Dewan,terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka,Kuala Lumpur, Cetakan 1989, muka surat 430 :

“ Hudud bermaksud had ataupun batas,perenggan,hingga dan setakat ”

Penegrtian – pengertian ini ada persamaan dengan takrif yang diberikan oleh pakar bahasa Arab.Menurut takrifan Ibn Manzhur r.h di dalam kitabnya Lisan Al – Arab , jilid 3, muka surat 140 :

              “ Had ialah pemisah antara dua perkara agar kedua – duanya tidak bercampur – aduk atau bertembung antara satu sama lain ”

              Tambah beliau lagi,perkataan ini juga digunakan bagi erti hujung sesuatu atau untuk membezakan antara sesuatu dengan yang lain.Kata jamak ( Plural ) bagi perkataan ini ialah Hudud.Al – Azhari r.h pula berpendapat Hudud Allah terbahagi kepada dua jenis.Pertama,ketentuan mengenai makan minum dan perkahwinan mereka sama ada halal atau haram.Kedua,seksaan ke atas mereka yang melakukan apa yang dilarang seperti mencuri atau berzina

              Sebagai satu istilah dalam pengajian syariat Islam,secara khususnya hudud bermaksud seksaan ( عقوبة ).Namun,istilah seksaaan ini memberi pengertian yang lebih khusus berbanding pembalasan ( جزاء ).Ini kerana,pembalasan tidak semestinya dalam bentuk seksaan.Ia mungkin dalam bentuk pembayaran ganti rugi,denda dan sebagainya.

              Perbezaan antara “ Seksaaan ” dengan “ Pembalasan ” ini juga boleh dijadikan landasan kepada perbezaan antara “ Hukuman Terhadap Kesalahan Jenayah ” dan
“ Hukuman Terhadap Kesalahan Sivil ”

              Dalam kes – kes jenayah,hukuman yang dikenakan bersifat “ Seksaan ” seperti rejam atau rotan dalam kes zina,potong tangan dalam kes mencuri dan sebagainya.Sedangkan dalam kes – kes sivil,hukuman yang dikenakan tidak bersifat seperti itu.Umpamanya,hukuman ganti rugi atas kesalahan merosakkan harta orang lain,denda atas kesalahan mungkir janji dan sebaginya.

              Namun,tidak semua “ Seksaan ” itu bersifat hudud.Ini kerana ,bagi membolehkan sesuatu disifatkan sebagai hudud,bentuk “ Seksaan ” itu perlu memenuhi ciri – ciri tertentu.Menurut Ibn Al Humam di dalam kitabnya Fath Al Qadir ,jilid 6, muka surat 212 :
                       
              “ Had ialah seksaan yang telah ditetapkan kadarnya oleh syarak bagi memenuhi hak Allah.Tambah beliau,sebab itulah qisas tidak boleh disebut sebagaihad.Ini kerana,ia dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan hak individu.Begitu juga hukuman ta’zir.Ia tidak boleh disifatkan sebagai had kerana kadarnya tidak ditentukan oleh syaral ”

Sebagaimana yang semua ketahui,qisas jelas sekali bersifat “ Seksaan ” atau punitif
 ( hukuman ).Begitu juga hukuman ta’zir.Pengertian ini jelas menunjukkan persamaan yang jelas antara hukum hudud,qisas dan ta’zir.Berasaskan kepada persamaan ini,ketiga – tiga hukuman berkenaan dikelaskan bersama sebagai hukuman atas kesalahan “ jenayah ”
Bukan “ sivil ” .Dalam syariat Islam,kesalahan jenayah itu sendiri dikategorikan mengikut jenis hukuman ini,iaitu jenayah hudud,jenayah qisas dan jenayah ta’zir.

Hudud Adalah Jenayah Berat :

              Jika kita perhatikan,kategori hukuman bagi jenayah yang ditentukan secara terperinci oleh syariat Islam termasuk kategori jenayah berat.Umpamanya dalam kes
Jenayah Qisas ” dan “ Diat ”.

              Ia melibatkan kesalahan membunuh,mencedera,pencerobohan terhadap nyawa dan keselamatan tubuh badan.Begitulah juga dalam kes “ Jenayah Hudud ” di mana pencerobohan berlaku terhadap kehidupan manusia terutama dari perspektif kemasyarakatan.Antaranya pencerobohan terhadap kesucian beragama,kesejahteraan akal,maruah keturunan,keselamatan harta benda,keselamatan negara dan sebagainya.

              Dengan kata lain,jenayah yang termasuk kategori hudud ini merupakan kesalahan yang menyentuh lima keperluan asas manusia atau dikenali sebagai ( الضروريات الخمس  ).Menurut syariat Islam,keperluan hidup terbahagai kepada tiga, iaitu :

                                   I.            Keperluan Asas ) ضروريات   )
                                II.            Keperluan Biasa (  حاجيات  )
                              III.            Keperluan Mewah (  تحسينات  )

Imam al – Syatibi r.h menegaskan di dalam kitabnya al – muwafaqot, jilid 2, muka surat 243 – 244 :

              “ Keperluan asas yang sangat perlu dijaga bagi menjamin kepentingan hidup masnusia ada lima , iaitu agama,nyawa,akal, maruah dan harta.Lima aspek hidup inilah yang disebut sebagai al dururiyyat al khams ”

              Sebagai jenayah berat yang menggugat kestabilan hidup manusia,hukuman yang dikenakan ke astanya juga perlu berat.Kalau tidak,mana mungkin ia mampu mencapai objektif pemulihan dan sebagainya. - Kitab al – nizam al ‘Iqaoobi al – Islami Karya Abu al Ma’ati Hafiz Abu al – Futuh, ms 109 – 157.

                  Menurut Abdul Qadir ‘Audah di dalam kitabnya al Tasyri’ al Jina’i al Islami, jilid 2,muka surat 345 :

              “ Hanya jenayah tertentu sahaja boleh dikategorikan sebagai ‘ jenayah hudud ’.Ia tidak  akan berubah mengikut oersedaran masa kerana telah ditentukan sendiri oleh syariat Islam ,iaitu melaui al Quran dan Sunnah ”

              Menurut jumhur ulama fiqh, kesalahan – kesalahan jenayah yang dikategorikan sebagai Jenayah Hudud ialah :

                                   I.            Murtad
                                II.            Minum Arak
                              III.            Mencuri
                             IV.            Merompak
                                V.            Berzina
                             VI.            Menuduh Zina
                           VII.            Memberontak.( Bughat ) 

No comments:

Post a Comment